Tuesday 2 December 2014




KEPENTINGAN BLOG DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU

Proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan  blog yang  dibangunkan  ini memberikan impak yang positif kepada  guru dan juga murid kerana proses pembelajaran boleh berlaku secara berterusan dimana tidak perlu lagi berkomunikasi secara empat mata. Sebaliknya, proses berkomunikasi ini boleh dilaksanakan pada jarak yang tiada sempadan dan kekangan.  Murid dan guru hanya perlu menggunakan kemudahan komputer dan internet sebagai medium. Penggunaaan blog dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini mampu menarik minat murid dan boleh meningkatkan tahap pencapaian murid kerana murid boleh belajar sambil melayari internet untuk mendapatkan pelbagai info yang berfaedah dan terkini.
Walau bagaimanapun,mungkin ada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa  pengaplikasian pembelajaran melalui blog dapat melalaikan dan proses pembelajaran akan menjadi lebih longgar dan kurang pengawasan hingga boleh menjejaskan kualiti pendidikan yang disampaikan. Sebaliknya, ia  merupakan suatu program yang mapan, bukan saja mampu mengekalkan kualiti pendidikan, malah mampu menjadi lebih berkualiti dan fleksibel jika diukur dari  aspek penilaian prestasi pelajaran dan pembelajaran yang dilangsungkan.
Konsep pembelajaran melalui blog  mempunyai pelbagai kelebihan dan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dapat menyamai suasana pembelajaran secara fizikal  seperti yang dilaksanakan di sekolah. Pada masa yang sama, konsep pembelajaran melalui blog dapat mengenal pasti kelemahan setiap pelajar dengan lebih mudah. Proses mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar ini dapat dilaksanakan melalui latihan dan profil pelbagai sumber pembelajaran. Melalui pelbagai latihan yang dijalankan atas  talian seperti Zoom A, score A dan sebagainya membolehkan guru mengetahui dan membuat penilaian terhadap kemampuan  pelajar dalam setiap komponen dalam satu-satu mata pelajaran.
Selain itu pembelajaran melalui blog juga secara langsung dapat memperkenalkan teknologi terkini kepada pelajar. Blog merupakan satu kaedah pembelajaran yang baru dan harus digunakan secara meluas sebagai alat bantuan pembelajaran kepada guru selain menjimatkan masa untuk mengajar. Sebarang maklumat yang baru dan berfaedah dapat diakses secara terus melalui blog yang dibuat oleh guru. Pelajar tidak perlu lagi untuk membuat ulangkaji secara bersendirian tanpa memperolehi maklumat yang lengkap.
Disamping itu blog juga dapat menjimatkan masa pelajar dimana pelajar dapat berbincang di luar waktu persekolahan. Melalui blog, pelajar tidak perlu berjumpa untuk membincangkan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru. Pelajar boleh berkongsi  idea dan pendapat serta sebarang masalah yang timbul berkaitan  sesuatu mata pelajaran boleh diutarakan dengan menggunakan blog yang telah dihasilkan. .Melalui penggunaaan blog pelajar tidak perlu lagi keluar dari rumah untuk mengadakan sesuatu perbincangan. Masa dan tenaga dapat dijimatkan selain memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak dan mendalam.
Melalui penggunaan blog juga dapat meningkatkan lagi minat pelajar untuk terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran.Pelajar dapat mengingati fakta –fakta penting dengan lebih lama dan proses pembelajaran menjadi lebih berkesan. Pada masa yang sama, pembelajaran melalui blog  ini juga turut menyediakan kemudahan kepada para guru untuk mengubahsuai sistem sedia ada mengikut kesesuaian proses pengajaran mereka. Misalnya, guru dapat menyesuaikan beberapa pilihan jawapan yang betul dan dapat diterima untuk satu-satu soalan berbentuk subjektif.

Penggunaan blog dalan proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu memberi impak yang begitu besar kepada pelajar-pelajar. Pihak Kementerian seharusnya memberi penekanan terhadap penggunaan blog di institusi –institusi pendidikan di negara ini..Blog seharusnya diketengahkan sebagai satu bentuk pendidikan yang baru di negara kita. Kepentingan blog dalam institusi pendidikan memang jelas terbukti. Pihak yang berwajib juga harus menjalankan peranan mereka agar mutu pendidikan di negara kita dapat ditingkatkan. Ibu bapa haruslah sentiasa peka dalam pendidikan anak-anak mereka. Setiap kebaikan dan keburukan boleh ditentukan oleh diri sendiri. Jadi, keburukan sesuatu perkara adalah kecil berbanding kepentingan yang dapat digunakan dalam proses pendidikan pada masa kini.


No comments:

Post a Comment